Saturday 18 January 2020

Kesabaran Nabi Ayyub Ditimpa Penyakit

Al-Quran ada menceritakan ihwal kesabaran Nabi Ayyub Alaihissalam dalam menempuhi segala penderitaan. Di antara penderitaan yang Nabi Ayyub alami yaitu berpenyakit gatal. Penyakit gatal ini sangat dahsyat. Apabila digaru dengan kuku, maka kuku baginda akan tanggal, tetapi masih juga bertambah gatal. Kemudian baginda terpaksa menggarunya dengan barang yang kesat. Tidak cukup dengan itu, baginda menggaru badannya dengan cuilan periuk dan kesudahannya dengan batu. 

Namun masih juga merasa gatal. Sehingga dengan tidak disedarinya dagingnya telah luka dan koyak. Maka keluar dari tubuh baginda yang luka itu, benjol yang baunya sangat busuk. Orang ramai yang tinggal di sekitarnya tidak tahan dengan anyir busuk itu, kemudian mereka keluarkan Nabi Ayyub dari negeri kawasan tinggalnya ke kawasan terpencil. Semua orang memencilkannya kecuali isterinya yang merawatnya.

Nabi Ayyub tidak pernah mengeluh dengan apa yang menimpanya, bahkan ia bersifat sabar dan tahan menderita. Apa yang dilakukannya hanyalah bermohon kepada Allah semoga mengasihaninya. Cubalah kita perhatikan permohonan Nabi Ayyub yang disebutkan di dalam Al-Quran :

Tafsirnya : "Dan Nabi Ayyub, dikala ia berdoa merayu Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya saya disentuh (ditimpa) penyakit, sedang Engkaulah saja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani" . (Surah Al-Anbiya¡¦: 83)

Jika kita perhatikan kalimat-kalimat yang disebut oleh Nabi Ayyub Alaihissalam dalam ayat ini, alangkah halusnya budi bahasa baginda dalam rayuannya kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Baginda menyebut "aku disentuh" dan tidak menyebut perkataan "aku ditimpa". Di sini menggambarkan bahawa celaka itu sendiri yang tiba menyentuh dirinya. Nabi Ayyub tidak menyebut juga "atas kehendakMu", kerana kesopanannya yang sangat tinggi terhadap Allah Subhanahu Wa Taala. Selepas itu, rayuan baginda disudahi dengan kata-kata yang halus juga iaitu: "Sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala yang mengasihani" .

Pada suku kata pertama, Nabi Ayyub mengadukan perasaannya yang sanggup menimbulkan rasa kasihan dan pada suku kata kedua disebutkannya sifat Allah yang lebih pengasih daripada sesiapa jua pun yang pengasih. Hanya inilah permohonan Nabi Ayyub kepada Allah. Dia tidak merungut dan mengeluh, apatah lagi meratapi apa yang telah berlaku. Dia cuma memohon belas kasihan daripada Allah Subhanahu Wa Taala.

Inilah satu kisah yang patut kita ambil iktibar, pengajaran dan tumpuan tauladan daripadanya. Walaupun Nabi Ayyub telah ditimpa penyakit, harta bendanya punah-ranah, anak-anaknya ditimpa malang dan mati semuanya, tetapi berkat sabarnya dan imannya, Allah Subhanahu Wa Taala telah mengabulkan doa dan rayuannya, kemudian ia pun sembuh ibarat sediakala dan berkembanglah keturunannya serta dikurniakan harta benda yang melimpah ruah.
banner
Previous Post
Next Post